Resepi Ikan Kembung Rebus Asam

Resepi Ikan Kembung Rebus Asam
Apakata kita cuba masakan rebusan pula hari ini. Ikan Kembung Rebus Asam. Hidangan yang agak mudah, menyihatkan, berperisa, kuah sup yang segar, ada sedikit masam dan pedas. Kepada yang kurang selera tu, alahai kesiannya, ni lah jawapannya. Orang kata, kalau tidak selera makan tu, hirup lah kuah sup ataupun benda makanan yang masam-masam, betul ke?

Lagi pun, bahan-bahan yang digunakan untuk resepi kali ini memang mudah kita cari di dapur, malah di setiap rumah orang Melayu, mesti dikatakan wajib mempunyai bahan seperti asam jawa, limau kasturi, chilli dan belacan.

Cukup lah resepi ikan ini untuk 2-3 orang bersantap. Nanti boleh hirup kuahnya sambil basahkan nasi di pinggan tu. Sekali hirup nasi sup ditambah dengan isi ikan. Dan kalau anda hendak masakan kanak-kanak yang tidak kuat makan pedas, bolehlah kurangkan chilli ok. Kepada penggemar lauk Yang berkuah pula, jangan lupa like dan share resepi ini. Siapa tau nanti boleh siapkan masakan ini untuk makan Sahur di bulan Puasa kelak. Selamat mencuba.

Kredit Resepi Masakan Istimewa

Bahan-bahan:
  • 3-4 ekor ikan kembung
  • 1 keping asam gelugur/asam keping
  • 1-2 biji tomato, potong dadu
  • 1 biji bawang besar, potong dadu
  • 1 inci belacan, bakar sehingga wangi
  • 5-6 biji cili padi, hiris kecil
  • 2-3 biji limau kasturi
  • 1 mangkuk kecil pati air asam jawa
  • sedikit sos ikan
  • garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya:
  1. Dalam periuk atau kuali, tuang air anggaran tenggelam sedikit ikan dan rebus bersama asam gelugur dan sedikit garam selama 5-10 minit di atas api yang perlahan. Setelah masak, angkat ikan ke dalam bekas berasingan.
  2. Tuang air ikan di dalam bekas dan masukkan pati asam jawa, belacan bakar, bawang, tomato, perahan air limau kasturi, dan sedikit sos ikan.
  3. Ramas dengan tangan supaya bahan bergaul sebati dan pekat. Masukkan pula cili padi dan kacau dengan sudu.
  4. Tuang kuah air asam ke atas ikan. Hiaskan dengan potongan limau dan hirisan daun bawang jika suka.

→Like Me!
Reactions

Post a comment

0 Comments